RSS
Aside

Khasiat makanan sunah Rasulullah


SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.

“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.

Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.

SETIAP individu seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui status kesihatan masing-masing. – Gambar hiasan

Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.

Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.

“Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.

“Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan,” jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun

Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.

EKSTRAK minyak habbatus sauda dalam bentuk gel lembut.

Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.

Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.

“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

DR. LATIFFAH banyak menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan khasiat habbatus sauda sejak lebih sedekad lalu.

“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.

“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau

sumber: kosmo online 22 Oktober 2012

Habbatus sauda

 
Leave a comment

Posted by on October 22, 2012 in Uncategorized

 

Guna barang kitar semula

Pembersih hampagas dibuat daripada kadbod

JAKE TYLER bergambar bersama pembersih hampagas ciptaannya yang diperbuat daripada kadbod.

LONDON – Seorang pencipta Britain berusia 22 tahun, Jake Tyler mencipta pembersih hampagas daripada barangan kitar semula kadbod, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang merupakan pelajar rekaan industri di Universiti Loughborough berharap ciptaannya itu akan dapat dijual di pasaran Asia seperti China dan Hong Kong.

Tyler mencipta pembersih hampagas itu dengan kerjasama kakitangan syarikat pengeluaran peralatan pembersihan, Vax di Worcestershire.

Syarikat itu tertarik dengan ciptaan Tyler sehingga ia berhasrat untuk dipasarkan. – Agensi

Sumber: kosmo online berita dunia (8 Julai 2011)

 
1 Comment

Posted by on July 8, 2011 in Uncategorized

 

Media Tani Organik

 
Leave a comment

Posted by on June 15, 2011 in Uncategorized

 

Baja Tanaman kompos

Kompos

Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, 60-an, berkata, baja kompos adalah bahan-bahan buangan yang diperam sekurang-kurangnya tiga bulan.

Asas komposisi kandungan kompos adalah tiga bahagian karbon dan satu bahagian nitrogen.

Antara bahan buangan yang digunakan ialah sampah sarap dari pasar, rumput, dedaun kering, hampas tebu, hampas kelapa, kulit pisang dan nangka.

Selain itu, penggunaan tulang haiwan seperti ikan, ayam dan najis ayam juga boleh digunakan.

BUKU panduan ringkas mengenai cara-cara menghasilkan kompos.

Bahan-bahan tersebut perlu disusun berlapis-lapis dan diperam di dalam bekas. Dalam tempoh pemeraman itu, mikroorganisma akan memecahkan semua bahan buangan tersebut.

Hasil kompos pula bergantung kepada kerajinan seseorang, jika bahan-bahan buangan tersebut dikisar halus maka hasilnya adalah lebih baik.

Menurut Siew Luang, baja kompos mengandungi serat yang tinggi dan nitrogen yang rendah. Ia boleh digunakan pada jumlah yang banyak berbanding baja organik.

“Komposisinya pula dapat meningkatkan struktur tanah, menentang penyakit dan mengekalkan kelembapan tanah,” katanya yang mendapat pendidikan mengenai tanaman organik di Jepun.

Pelopor tanaman organik di Malaysia itu sudah 26 tahun aktif menyedarkan masyarakat supaya beralih kepada tanaman organik.

Baginya, tanaman organik bukan saja tidak menggunakan bahan kimia bahkan pengamalnya tidak boleh mengambil jalan singkat.

“Dalam pembuatan baja organik, tidak boleh menggunakan sebarang mikororganisma asing bagi mempercepatkan proses penguraian tetapi kita boleh bereksperimen,” kata wanita yang berasal dari Sungai Abung, Muar itu.

Bagaimanapun, eksperimen dibenarkan bagi melihat kesesuaian bahan buangan dan keadaan tanah di sesuatu tempat kerana setiap kawasan mempunyai jenis tanah yang berbeza.

 

Rencana asal

Baja ajaib

Oleh: Adlan Jaafar

kosmo online.com.my

 
2 Comments

Posted by on June 15, 2011 in Article organic farming

 

Jualan biskut makan harian atau musim perayaan

Biskut jualan sebagai kudapan harian dan musim perayaan

1) Biskut cip coklat (Hersheys)
50pcs RM28.00

2) Tart gulung nenas
50pcs RM21.00

Homemade jem nenas

3) Biskut samperit pandan
50pcs RM 20.00

Kesemua biskut menggunakan mentega untuk rasa biskut yang lazat

Hubungi Aziah di talian 019-2481584 (lokasi Semenyih)

 
1 Comment

Posted by on May 20, 2011 in Uncategorized

 

Serat batang pisang -bantu kurang pencemaran laut (tumpahan minyak)

BUKIT MERTAJAM 12 April — Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) di sini yang mewakili Malaysia pada pertandingan Reka Cipta Sains Remaja Beijing di China baru-baru ini mengharumkan nama negara selepas memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

Mas Aidil Mas Rosemal Hakim, 18 dan Nurein Ardini Samsuri, 16, memperoleh kejayaan itu menerusi hasil ciptaan mereka yang dikenali sebagai MoBanT Fibre, iaitu serat daripada batang pisang yang mampu menyerap minyak dalam air bagi mengelak pencemaran alam sekitar terutama di laut.

Menurut Nurein mereka mendapat ilham untuk mencipta produk itu selepas melawat rumah Mas Aidil yang mana ibu bapanya hanya membuang begitu sahaja batang pisang selepas mengambil buahnya.

“Jadi, kami pun membuat kajian mengenainya dan mengambil masa selama satu tahun setengah untuk melakukan proses penyelidikan dan kajian (R&D) dengan bantuan pelbagai pihak antaranya Universiti Sains Malaysia (USM) serta guru penasihat, Go Seow Ann,” katanya pada sidang akhbar di SMSTSSS di sini hari ini.

Selain tempat pertama, pasangan berkenaan turut memenangi anugerah istimewa daripada Syarikat Semia, sebuah syarikat di China, pada pertandingan yang menyaksikan sebanyak 1,268 projek mengambil bahagian.

Pertandingan anjuran Beijing Association for Science and Technology itu disertai pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan New Zealand dan Australia yang berlangsung pada 17 hingga 23 Mac lepas.

Menjelaskan mengenai proses menghasilkan bahan serat itu, Nurein berkata proses permulaannya adalah dengan memotong batang pisang berkenaan menjadi lebih kecil dan kemudiannya dibersihkan bagi membuang mikroorganisma seperti kuman.

“Ia kemudiannya dikisar dan selepas itu dikisar sekali lagi dan mencampurkannya dengan asid stearik dan kapur (kalsium karbonat).

“Cara mengggunakannya cukup mudah, iaitu dengan meletakkan bahan serat berkenaan di permukaan air dan ia akan menyerap semua minyak yang ada. Walaupun ia mengandungi minyak, tetapi bahan serat itu tidak akan tenggelam,” katanya.

Katanya produk berkenaan boleh digunakan oleh pengusaha kapal yang sering meninggalkan kesan minyak pada permukaan air laut yang dibimbangi boleh memusnahkan hidupan laut.

“Mereka tidak perlu berbelanja besar kerana kos menghasilkan bahan ini cukup murah berikutan hanya menggunakan bahan semula jadi seperti batang pisang,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah dengan kerjasama USM akan mempatenkan hasil reka cipta berkenaan secepat mungkin.

Persoalan: batang pisang yg telah menyerap minyak itu akan terlupus sendiri tanpa mencemarkan alam…atau ada cara pelupusan yg mesra alam

 
1 Comment

Posted by on April 13, 2010 in Uncategorized

 

Segala-galanya tentang Akar tumbuhan

Perbincangan tentang akar akan merujuk kepada beberapa jenis kulat dan bakteria pada akar yang membantu tumbuhan rintang terhadap penyakit dan mempunyai pertumbuhan hidup yang baik seterusnya dapat mengeluarkan hasil yang tinggi.

Pertama adalah definisi akar – organ paling penting dalam tumbuhan. Fungsi dan sistem akar tumbuhan berbeza antara satu sama lain.
Dua fungsi utama akar adalah
1) penyerapan air dan galian bukan organik
2) mengikat pokok kepada tanah
Fungsi akar yang pertama dapat dibantu atau disokong dengan wujudnya kulat yang berasosiasi bersama akar (kulat mikoriza).Biasanya akar tumbuhan yang berasosiasi dengan kulat ini lebih rintang kepada penyakit yang dibawa oleh kulat tanah dan juga lebih daya tahan kepada cuaca kering kerana keupayaan menyerap air dan mineral yang lebih baik.

Jenis kulat mikoriza yang penting adalah AM fungus atau kulat AM-arbuscular mycorrizha

 
2 Comments

Posted by on November 6, 2009 in Uncategorized

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.